Sabtu, November 22, 2014

Melayu di perantauan

Shahril Shuib dan Robae
 
Aku mengenali Shahril Shuib sejak dari tahun 1996 lagi sewaktu kami sama-sama bekerja di Renaissance Hotel Kuala Lumpur. Aku, waktu itu di Vogue Cafe manakala Shahril pula di Malay Kitchen di Cafe yang sama. Beliau merupakan seorang chef yang senang untuk diajak berbual. Di waktu awalnya banyak kali juga pekerja aku salah mengambil pesanan ataupun tetamu memberitahu bahawa makanan tak seperti mana yang diharapkan, aku akan membawa balik makanan ke dapur, merasa makanan tersebut bersama chef dan kemudiannya berbincang dengan chef secepat mungkin apakah makanan itu harus digantikan dengan makanan yang sama ataupun harus menukar kepada menu yang lain. Kebanyakkan chef akan menjadi "hijau" bila perkara ini berlaku. Tetapi selama aku mengenali chef Shahril, perkara ini jarang ataupun tidak pernah berlaku. Jika alasan yang diberikan kukuh, beliau akan segera menggantikannya dengan yang baru. Senang bekerja jika Shahril Shuib yang berada di dapur! Ini bukan kerana aku yang cerita tetapi jika ditanya kepada budak-budak lain pun jawapan mereka akan sama dengan aku. Tak banyak hal, tak banyak kerenah. Dapur beliau sentiasa dijaga rapi. Bak kata orang kedah, "cuci-chalat!"


dari kiri, chot, nazri, shahril dan madi di Renaissance Hotel KL pada 1996!
 
Setelah beberapa tahun kerja bersama-sama, Shahril Shuib telah membuat satu keputusan yang bagi kami amat mengejutkan tetapi beliau nekad. Shahril Shuib telah menghantar notis berhenti kerja dan mula mengatur langkah ke Ireland. Sebuah negara asing di Eropah. Kali pertama beliau berjauhan dengan keluarga. Kali pertama berada jauh beribu-ribu kilometer dinegara orang. Kali pertama menghadapi cuaca 4 musim dan musim sejuk yang ekstrem. Beliau tetap nekad. Seketika kami terputus hubungan tetapi kembali berhubung sewaktu aku di Mekah dan beliau di Galway yang menjadi tempat mencari rezeki beliau sehingga kini. Bekerja siang dan malam tanpa henti bagi mencari rezeki halal dengan niat hanya satu yakni membanggakan keluarga di kampung di Kedah! Aku faham benar kesusahan yang beliau harungi kerana aku juga sering merantau ditempat orang sendirian. Tetapi mengenali chef muda berbakat dan sangat positif ini membuatkan aku merasa banyak kekurangan berbanding beliau. Misi dan visinya telah ditetapkan. Tidak akan pulang selagi belum menempah kejayaan..

 
Selang beberapa tahun bekerja diperantauan beliau berkenalan dengan seorang wanita tempatan yang bernama Margo O'Malley. Sering bertemu membuatkan timbul perasaan rindu dan sayang dihati mereka. Sedikit demi sedikit Shahril cuba mengajar Margo akan keindahan agama Islam dan Margo mula tertarik. Shahril mengambil masa selama 2 tahun untuk membimbing Margo dan akhirnya pada tahun 2004, dengan persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak, kata sepakat dicapai dan mereka bernikah pada tahun 2004. Margo diberikan nama Mariam binti Abdullah. Mereka dikurniakan 3 orang zuriat. Adam berumur 9 tahun, Azri berumur 7 tahun dan terakhir Nurliyana berumur 4 tahun sebagai penyambung kasih. Rezeki Shahril bertambah baik. Dengan duit yang ada setelah mengumpul bersama-sama dengan isteri tersayang, Mariam, mereka telah berjaya membuka sebuah restoran. Masa terluang banyak dihabiskan bersama keluarga dan sering mereka mengunjungi keluarga Mariam. Selain daripada itu Shahril juga gemar memancing dan hasil tangkapannya akan dibawa pulang untuk dimasak dan dikongsi bersama rakan-rakannya dari Malaysia dan masyarakat tempatan. Penglibatan beliau didalam majlis-majlis tempatan mahupun keagamaan dimasjid berdekatan amatlah menyenangkan banyak pihak. Karektor beliau yang peramah tetapi sedikit "gila-gila" diibaratkan sebagai "icing" pelengkap. Begitu jugalah sikapnya sejak tahun 1996!

 
Sewaktu di RKL dulu, Shahril sering mengambil shift tengah malam. Apabila rakan sebelumnya tidak menghabiskan tugas yang sepatutnya dilaksanakan, Shahril dengan senang hati akan menyiapkan apa saja yang terbengkalai. Menyanyi-nyanyi sendirian didapur sambil menggoreng mee mamak, aku kadangkala ketawa kecil. Setiap kali aku masuk ke dapur akan ada saja makanan yang disuruh aku rasa. Shahril memang mahir dan kemahiran itulah salah satu aspek yang membuatkan beliau berjaya. Kecekalan hati, disiplin dan keinginan untuk merubah nasib diri sendiri juga banyak memainkan peranan didalam melahirkan Shahril Shuib yang aku kenali ini. Senyum tak pernah lekang dari bibirnya. Aku sangat berbangga kerana Shahril ini merupakan anak Melayu yang berjaya di perantauan walaupun bukan yang pertama, tetapi yang sangat aku kenali. Diam tak diam, telah hampir 15 tahun beliau bermastautin disana. Menjadikan Galway sebagai kampung baru beliau dan keluarga. Hubungan dengan ahli keluarga di Kedah tetap diteruskan. Kadang-kala ada saudara-mara yang pergi melawat dan bercuti disana.

 
Shahril juga sama macam aku. Menunggang moto pergi dan balik kerja. Kadang-kadang kami sampai ke hotel pun pada waktu yang sama. Parking moto bersebelahan, sempat kami berborak sebentar sambil berjalan masuk ke hotel dan ke locker room yang sama untuk menukar pakaian. Pertengkaran diantara kami adalah lumrah. Semuanya berkisar kepada kerja sahaja. Tiada yang personal. Shahril akan marahkan aku jika makanan lambat di pick up. Aku akan marahkan Shahril apabila makanan lain dah siap manakala masakannya belum. Penting bagi aku untuk mengeluarkan makanan untuk satu meja pada waktu yang sama. Mungkin aku "old school" tetapi itulah yang aku belajar dan mengajar sewaktu di eropah dulu. Selepas bertegang leher selama beberapa saat, dan makanan dihidangkan kepada tetamu, aku akan masuk semula ke dapur untuk bertemu beliau. Kembali bersembang, bergelak dan kadang-kadang minum kopi bersama di belakang.


Alhamdulillah...alhamdulillah...alhamdulillah...aku bersyukur, rakan yang aku kenali beberapa tahun dulu kini sedang membina kehidupan yang sangat baik di perantauan. Restaurantnya dinamakan sempena nama isterinya. Margo's Restaurant. Nama siapa lagi yang harus diabadikan selain daripada nama isteri? Kata beliau, restaurant ini diusahakan oleh mereka anak-beranak. Makanan yang disediakan ialah Irish dan Asian. Oleh kerana dikawasan beliau tidak banyak restaurant makanan Asia, maka disinilah selalunya menjadi tumpuan dan tempat masyarakat setempat berkumpul. Ada juga disediakan ruang untuk bermain pool. Kalau tetamu belum datang, selalunya anak-anaklah yang akan bermain walaupun kayu "que" tu lebih panjang@tinggi daripada Adam, Azri mahupun Liyana!
 
Aku tumpang seronok melihat rakan aku, seorang anak muda dari Hutan Kampong, Alor Setar, Kedah berjiwa besar, membina kehidupan baru di perantauan dan mengatur langkah mengejar impian...jika ada sesiapa yang sampai ke Galway dan nak makan sambal belacan, aku syorkan carilah dia....alamatnya kini ialah seperti dibawah. To my dear old friend, Shahril Shuib. I am very-very proud of you!
 
Shahril Shuib,
Ratesh Kilconly,
Tuam co Galway,
Ireland.


4 ulasan:

Kakcik Seroja berkata...

Semoga beliau akan terus melangkah dengan penuh gaya dan berjaya tanpa melupakan asal usul dan berlandaskan agamanya... InsyaAllah.

Aaminnn

Uncle berkata...

Kakcik Nur, mengenali beliau, saya amat yakin yang beliau akan berjaya...

azieazah berkata...

Tajuk tukar kepada: Bila Shahril bercerita tentang Shahril.

Hahahahaha... tumpang bangga dengan kedua-dua Shahril!

Uncle berkata...

Salam Azieazah.

Shahril Galway memang hebat manakala Shahrir KL dok lagu tu saja....hahahhahaha...

Tewas

Harap maaf betul kerana saya tak termampu nak ipdate cerita-cerita saya disini. Banyak sebenarnya nak dikisahkan. 2. Walaubagaimanapun say...